Sunday, 22 September 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Blog merupakan antara medium perhubungan atau dialog iaitu di antara penulis dan pembaca. Penulisan blog menjadi salah satu medium penyampaian maklumat yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini. Hal ini kerana menurut Nowson (2006) blog merupakan laman web yang dikemas kini mengikut susunan kronologi manakala bahasa yang digunakan juga tidak formal dan kurang terhad. Dalam etika penulisan blog, menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019)   terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira oleh seseorang penulis sebelum membuat sesuatu penulisan.
Antaranya ialah tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca. Tajuk merupakan aspek yang paling penting dalam penulisan blog. Pengguna laman web blog sudah pasti akan membuat capaian dalam aplikasi "google" dengan menggunakan bahasa yang mereka fahami. Oleh itu penulis blog perlu kreatif untuk memilih tajuk-tajuk yang mudah dan tidak terlalu formal. Tajuk yang menarik juga membolehkan sesuatu laman blog itu akan sentiasa dicapai dan memperoleh jumlah pengunjung yang ramai kerana tajuk yang menarik dan berada pada kedudukan teratas dalam senarai capaian di "google".

Seterusnya ialah cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca. Pemilihan cerita mestilah mengikut kehendak pembaca. Hal ini demikian kerana pembaca memilih laman web blog untuk membaca kisah-kisah yang menarik dan dapat mengisi masa lapang mereka untuk membaca kisah tersebut. Penulis perlu bijak untuk mencuri perhatian pembaca dengan kandungan yang terdapat dalam cerita. 

Selain itu, penulis perlu memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Penulisan berbentuk jenaka sudah terbukti menjadi kegemaran pembaca kerana penulisan tersebut tidak terlalu serius dan membuatkan pembaca perlu berfikir dengan lebih mendalam. Penggunaan ayat humor dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan sesebuah penulisan dalam blog tersebut. 

Penulis juga perlu memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Penulisan sesebuah blog itu perlu disertakan dengan fakta supaya penulisan itu tidak terlalu kosong. Penulis juga perlu memastikan hujah tersebut sampai kepada pembaca mengikut fahaman yang betul dan mengelakkan daripada penyebaran maklumat palsu. Penulisan yang mempunyai hujah terbaik pasti akan sering dilawati kerana kesahan maklumat yang terdapat dalamnya boleh dipercayai.

Aspek seterusnya ialah kaitkan penulisan anda dengan berita terkini. Hal ini kerana untuk mendapatkan jumlah pengunjung yang tinggi, penulis perlu sentiasa peka dengan isu semasa dan membuat penulisan di blog berdasarkan isu tersebut. Pembaca sudah pasti ingin mendapatkan maklumat-maklumat dan info yang terkini berkaitan dalam atau luar negara. Ini memberikan tugas yang agak mencabar kepada penulis untuk sentiasa peka dengan maklumat atau isu yang terkini.

Selain daripada itu, gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas juga merupakan etika yang penting. Perkataan yang berada pada tahap yang tinggi pasti menyukarkan pembaca untuk memahami keseluruhan konteks yang ingin disampaikan oleh penulis. Struktur ayat yang ringkas dan padat perlu dijadikan keutamaan kerana penulisan blog yang panjang meleret sudah pasti membosankan pembaca dan memberikan impak yang negatif terhadap penulisan di blog. Oleh itu, penggunaan bahasa yang ringkas dan padat lebih sesuai digunakan dalam penulisan blog.
       
Di samping itu, penulisan di blog dapat dibaca dan difahami. Penulisan yang baik sudah tentu dapat difahami dengan mudah oleh pembaca. Konteks keseluruhan penulisan perlulah jelas dan mengikuthaluan yang betul tanpa menyimpang dan mengelakkan pertindihan maklumat. Hal ini secara tidak langsung memberikan imej yang baik kepada penulis tersebut. Penulis juga perlu jelas terhadap apa yang ingin disampaikan olehnya dalam penulisan tersebut.

Seterusnya ialah dapat berkomunikasi dengan pembaca. Penulisan di blog bersifat dua hala. Sekiranya pembaca mempunyai sebarang pertanyaan atau kekliruan, mereka boleh bertanya di ruangan komen. Penulis perlu sentiasa peka terhadap soalan-soalan tersebut. Oleh itu penting untuk seseorang penulis itu memahami terlebih dahulu keseluruhan konteks penulisannya. Jawapan maklum balas yang pantas dapat memberikan imej yang positif ke atas penulis blog dan pembaca akan sering mengunjung blog tersebut.

Penulis perlu masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan mereka. Etika ini penting kerana penulisan yang baik perlulah mempunyai mesej yang baik. Penulis perlu mengelak daripadda menulis penulisan yang bersifat emosi. Hal ini kerana dapat memberikan gambaran yang buruk kepada penulisan mereka. Penulisan yang mempunyai moral dan nilai estetika perlu dipuji kerana ini membuktikan penulisan tersebut bukanlah bersifat kosong. Penulis yang kreatif sudah pasti mampu untuk menerapkan nilai moral dalam penulisan mereka.

Akhir sekali ialah penulisan mestilah berilmu untuk penulisan pendidikan. Penulisan di blog perlu juga menitikberatkan penulisan yang berbentuk pendidikan dan bukanlah hanya sekadar penulisan yang bersifat bersahaja. Penulisan yang berilmu dapat membantu pembaca untuk mencari maklumat-maklumat yang mereka inginkan dan sudah tentu penulisan ini akan membantu mereka. Hal ini kerana kebanyakkan pengguna atau pembaca blog terdiri daripada golongan pelajar. Secara tidak langsung penulis dapat mencuri perhatian mereka dengan membuat penulisan yang berilmu.



No comments:

Post a Comment

BBM5407Dua2021: Teori/Pendekatan Wacana (Bukit Kepong)

 Filem Bukit Kepong Durasi: 1.16.00 - 1.30.00 P10: sarjan, balai terbakar P2: mari, baik kau keluar. Masuk dalam kubu. W1: abang...abang...